top of page

APAKAH PERUBAHAN IKLIM?

Iklim bumi sentiasa berubah sepanjang sejarah evolusi bumi. Perubahan yang perlahan dan beransur-ansur ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Antaranya ialah kitaran orbit bumi atau ‘Kitaran Melankovich’ dan pergerakan plat tektonik. Proses proses ini menjadikan bumi ini satu planet mampu dihuni oleh pelbagai spesies dan diversiti. Perubahan iklim semula jadi juga telah membentuk perjalanan evolusi dan migrasi hominin (manusia awal seperti Homo Erectus dan juga manusia moden Homo Sapiens ) 


Walau bagaimanapun, pertumbuhan manusia dan perindustrian yang pesat telah mengubah proses semulajadi perubahan iklim dengan kadar kelajuan yang amat berbahaya. Emisi karbon dioksida (CO2), sejenis gas rumah hijau telah terbebas ke atmosfera pada kadar berbahaya yang memanaskan Bumi dengan ketara. Gaya hidup manusia yang tidak mampan dalam sistem ekonomi berat sebelah yang mementingkan keuntungan korporasi korporasi gergasi, telah menyebabkan konsentrasi CO2 dalam atmosfera meningkat sebanyak 40% sejak revolusi perindustrian dan dijangka bertambah buruk dalam beberapa dekad akan datang. Beberapa minggu lepas, konsentrasi CO2 di atmosfera telah melebihi 400 ppm, satu situasi yang tidak pernah di lihat dalam sejarah manusia moden. 

IMPAK KEPADA MALAYSIA

Kenaikan suhu global! Kenaikan suhu 1.5 °C dan ke atas akan membawa kepada pemanasan laut, pencairan glasier, kenaikan paras laut dan iklim yang melampau dan tidak menentu.


Di Malaysia, kesan perubahan iklim yang mula dirasai adalah haba melampau dalam bentuk gelombang panas.  Ini meningkatkan risiko kesihatan yang berkait dengan haba, polusi dan kematian. Kepanasan berterusan bakal menyaksikan kemusnahan biodiversity seperti kematian terumbu karang yang merupakan ‘keystone’ habitat untuk hidupan marin, yang merupakan sumber makanan rakyat. Di darat, kehilangan hutan dara, modifikasi sistem penggunaan tanah dan urbanisasi yang tidak mampan juga menaikkan lagi suhu lokal seperti yang dilihat di Borneo yang kehilangan 50% dari hutan daranya.


Selain itu, pencairan glasier dan litupan ais adalah penyumbang utama kepada kenaikan paras laut, menyebabkan masyarakat di kawasan pesisiran laut berisiko dinaiki air.  Kehilangan penempatan manusia dalam kawasan ini bukan sahaja akan membawa kepada kadar penghijrahan bandar yang lebih tinggi, tetapi ia juga akan meluaskan jurang sosio ekonomi bagi warga yang hidup dalam garis kemiskinan sama ada komuniti marginal, wanita atau kanak-kanak. Golongan terpinggir ini adalah golongan yang paling terdedah kepada perubahan iklim, namun paling kurang bersedia untuk menghadapi risiko perubahan iklim.


Musim kering yang berpanjangan juga boleh mengkompromi  keselamatan makanan negara akibat tanaman makanan yang musnah disebabkan kepanasan extrem dan masalah irigasi. Sekiranya isu ini terus diambil ringan, bukan sahaja  petani mengalami kehilangan mata pencarian, malah produktiviti ekonomi negara juga akan terjejas.

Untuk bacaan lanjut tentang impak perubahan iklim kepada kehidupan manusia dan juga ekosistem yang penting sila kunjungi: https://www.ipcc.ch/sr15/

bottom of page